PostHeaderIcon Rahsia Langsing Selepas Bersalin

6 rahsia langsing selepas bersalin

Berat badan naik selepas melahirkan? Anda tidak perlu berdiet sakan menahan makan kerana ada banyak cara lain yang boleh dilakukan. INTAN JASTINA JAMALUDDIN ada rahsia yang boleh anda usahakan jika mahu kelihatan lebih menawan.

1. Gaya Tersendiri

Apa yang anda sarungkan di tubuh merupakan pasport kepada penampilan diri yang anggun. Jika tersalah cara, dikhuatiri ia bakal menjadi di sebaliknya pula. Oleh kerana itulah amat penting untuk anda memilih pakaian yang benar-benar padan dengan bentuk tubuh baru selepas melahirkan. Dengan yang demikian, diharapkan pakaian berkenaan mampu menampilkan diri dalam keadaan yang lebih kecil daripada saiz asal.

Dalam masa yang sama, cari dan cipta gaya baru yang tersendiri. Asalkan ia secocok dengan keadaan bentuk fizikal anda. Jika pakaian kegemaran yang kerap dikenakan sebelum hamil dan melahirkan bakal membuatkan anda kelihatan seperti buah nangka berbalut, sisihkan sahaja pakaian itu.

Sebaliknya, jika ramai yang memuji anda memakai ketika memakai baju kurung pesak gantung, nampak gayanya itulah pakaian yang sesuai buat sementara waktu ini. Apa yang penting, anda perlulah kelihatan lebih langsing tatkala memakainya dan tidak menjadi bahan usikan teman-teman.

2. “Baju Diet”

Sebagai wanita, anda tentu mempunyai tanggapan bahawa pakaian yang dipakai dapat membantu anda meningkatkan keyakinan sedia ada. Jika tiada pakaian yang bersesuaian untuk dipakai pada hari tertentu, tentu anda mudah hilang mood. Buat anda yang tiada bajet untuk membeli sejumlah pakaian baru bagi memenuhi keperluan saiz tubuh “membesar”” berbanding sebelumnya, jawapannya sangat mudah! Anda hanya perlu memiliki “Baju Diet”.

Baju ini berupaya menutup segala kekurangan diri terutamanya lemak berlebihan di bahagian perut dan paha.”Baju Diet” yang dimaksudkan ialah set seluar girdle (bengkung) dan korset. Dengan memakai set “Baju Diet” sebelum menyarungkan pakaian pilihan, secara automatik, tubuh anda menjadi lebih kemas dan pastinya kelihatan lebih ramping. Dengan yang demikian, pasti anda kekal yakin sepanjang hari.

3. Seluar Hitam

Salah satu “pakaian mesti ada” di dalam almari sesiapa jua pun ialah seluar berona hitam. Hal ini kerana rona hitam memainkan peranan penting dalam memudarkan penglihatan umum agar mereka melihat anda dalam saiz yang lebih kecil. Untuk itu, anda patut “melabur” dengan membeli beberapa helai seluar hitam yang berpotongan lurus.

Paling penting, dapatkan seluar yang sesuai dengan bentuk fizikal anda! Jangan terlalu ketat atau sendat. Sebaik-baiknya, anda digalakkan untuk mendapatkan paling minimum tiga helai seluar hitam sebagai koleksi.

4. Seluar Denim

Tiada seluar lain yang mampu menonjolkan keistimewaan dan menutupi kelemahan fizikal anda sebaik seluar denim. Sama seperti seluar hitam, dapatkan seberapa banyak seluar denim yang sesuai sebagai koleksi anda.

Namun, pemilihan teliti perlu dilakukan sebelum membelinya. Panduan berikut sedikit sebanyak dapat membantu.

a. Punggung yang besar akan kelihatan kecil jika anda memakai seluar denim potongan khusus untuk kaum lelaki.

b. Jika anda mahu kaki kelihatan panjang, beli seluar denim yang panjang dan gandingkan bersama dengan pemakaian sepatu bertumit tinggi.

c. Beri perhatian khusus kepada bahagian poket belakang. Ini kerana ia membantu mengubah penglihatan orang lain terhadap dimensi punggung anda.

d. Jika anda memiliki paha yang besar, hindari rekaan seluar denim yang dilunturkan warnanya di bahagian kaki terutamanya paha. Ia akan menarik perhatian umum untuk melihat bahagian berkenaan.

e. Seluar denim daripada rona indigo gelap adalah pilihan yang paling baik.

5. Label Pilihan

Salah satu cara terbaik untuk membolehkan anda kekal selesa memakai pakaian bagi menyerlahkan penampilan diri ialah dengan mencari label pakaian yang bersesuaian. Tidak semestinya label pakaian yang terkemuka dan mahal harganya mahupun butik pereka terkenal.

Cukuplah sekadar anda membeli pakaian yang diidamkan di kiosk yang tumbuh bagaikan cendawan di kompleks beli belah. Paling penting anda suka dan cocok dengan pakaian yang ditawarkan. Apatah lagi jika harga yang ditawarkan adalah berpatutan dengan kualiti pakaian yang dijual. Bukankah ia suatu bonus buat anda!

6. Pakaian Dalam Baru

Pemilihan pakaian dalam ( bra) yang sepadan dan tepat dengan saiz payu dara akan membuatkan “aset” anda kelihatan lebih mantap. Secara tidak langsung, ia akan memperbetulkan bentuk fizikal anda. Antara lain, ia turut membantu membaiki postur dan garis tubuh serta mengasingkan bahagian dada dan pinggang.

Lebih daripada itu, ia mampu mengalihkan perhatian mata umum daripada melihat bahagian perut anda yang mungkin masih belum surut lagi. Apa yang penting, anda dinasihatkan agar sentiasa mencuba terlebih dahulu bra yang bakal dibeli. Aspek ini perlu dititikberatkan kerana perubahan hormon dan pertambahan atau pengurangan berat badan sentiasa mempengaruhi saiz payu dara.

Di salin dari laman web PA&MA

Blog Widget by LinkWithin

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.